Isnin, 29 Julai 2013

Dilema Hutang: Sejenak kita renungkan...

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

“Ya Allah! Aku berlindung kepada Mu daripada kedukaan dan kesusahan, dan berlindung daripada lemah dan malas dan berlindung daripada takut dan bakhil dan berlindung daripada bebanan hutang dan penindasan orang.”

InsyaAllah, amalkan doa ini untuk melepaskan diri daripada beban hutang.



Bolehkah kita melalui kehidupan yang sementara ini tanpa berhutang? Adakah manusia di dunia ini yang tidak pernah berhutang? Namun persoalan yang lebih penting ialah adakah kita TELAH MELUNASKAN semua hutang-hutang kita? Hutang kepada ibu, ayah, adik-beradik, rakan taulan, institusi kewangan dan lain-lain pemberi pinjaman lagi...


Anda berada dalam golongan yang mana sebagai penghutang?

Golongan 1.
Orang yang bertanggungjawab terhadap hutang-hutangnya. Tahu yang hak dan yang batil. Beriltizam dan komited untuk melunaskan segala hutang-hutangnya. Sanggup berjimat-cermat, memenuhi keperluan hidup sekadar yang ada dan tidak berlebih-lebihan dalam kehidupan demi untuk melunaskan hutang-hutang yang ada.

Golongan 2.
Orang yang memandang remeh tentang hutang-hutangnya. Sanggup melengah-lengahkan urusan membayar hutang sehingga menjejaskan kehidupan si pemberi hutang. Tidak mementingkan keberkatan dalam menjalankan kehidupan diri, isteri/suami dan anak-anak.

Golongan 3.
Orang yang berhutang tetapi memang tidak berniat untuk membayar atau melunaskan hutang-hutangnya padahal dia mampu untuk melakukannya. Tidak mempedulikan halal haram apa yang dimakan oleh dirinya, suami/isterinya dan anak-anaknya. Suka menganggap “Hangus/Burnt” terhadap hutang-hutangnya terutama hutang-hutang terhadap keluarga terdekat seperti ibu, ayah, adik-beradik dan saudara-mara kerana menganggap “tidak apa, mereka ahli keluarga, lambat laun mereka akan halalkan hutang saya.”

Golongan 4.
Orang yang berhutang tetapi memang tidak mampu untuk melunaskan hutang-hutangnya. Hutang sini sana, gali lubang untuk tutup lubang. Sepanjang hayat hidup dibebani dengan hutang.


Renung-renungkanlah. Alhamdulillah, sekirannya berada dalam golongan 1. Dukacita sekirannya anda termasuk dalam golongan 2, 3 dan 4 kerana anda berada dalam kerugian.

Pelbagai raut wajah dipaparkan, senyuman manis diberi sebagai pujukan, muka kasihan ditonjolkan agar orang simpati, janji bayar balik yang berkobar-kobar untuk meyakinkan si peminjam.

Tetapi apabila tiba untuk membayar hutang, pelbagai alasan diberi. Bila hutang mula ditagih, pelbagai masalah dijadikan alasan. Banyak tanggungan, pendapatan tidak seberapa, banyak komitmen kepada yang lain, adakalanya sanggup mengalirkan air mata palsu untuk mengelak diri daripada membayar hutang. Dalam pada masa yang sama mampu pula memiliki rumah dan kereta, mampu membeli barangan keperluan seperti peralatan elektrik, perabot dan pakaian yang berjenama. Mampu pergi melancong bersama suami/isteri dan anak-anak dua atau tiga kali setahun. Tetapi dalam soal membayar hutang? Tidak mampu?

 Hutang dengan institusi kewangan dibayar tepat pada masanya, kalau tidak tindakan mahkamah akan diambil. Tahu takut kalau tidak membayar hutang. Tetapi, kalau hutang itu kepada ibu, ayah, suami atau isteri, adik-beradik atau sanak-saudara, dilengah-lengahkan atau dilupakan sahaja. Tingginya nilai yang diletakkan kepada institusi kewangan berbanding nilai ibu, ayah, adik-beradik dan sanak-saudara. Nescaya golongan ini tidak akan beroleh keberkatan dalam hidup.


KETAHUILAH TENTANG HUKUM DAN PANDANGAN ISLAM DALAM HAL HUTANG

Kepenting dalam urusan melunaskan hutang boleh kita nilaikan berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:
يغفر للشهيد كل شيء إلا الدين
Ertinya : " Diampunkan semua dosa bagi orang mati yang terkorban Syahid kecuali jika ia mempunyai hutang (kepada manusia)" ( Riwayat Muslim, 6/38)

Lebih buruk lagi apabila terdapat sesetengah individu yang meminjam dengan niat untuk tidak memulangkan kembali. Sebagaimana Sabda Nabi Muhammad SAW:
من أدّان أموال الناس يريد أداءها أدى الله عنه , ومن أخذها يريد اتلافها أتلفه الله
Ertinya : “Barangsiapa yang meminjam harta orang lain dengan niat ingin mengembalikannya, Allah akan mengembalikan pinjaman itu, namun barangsiapa yang meminjamnya dengan niat ingin merugikannya, Allah pun akan merugikannya" ( Riwayat Al-Bukhari, 2/83 )


Rasulullah SAW juga kerap mengajar umat islam agar berdoa dilepaskan dari hutang :
اللهم إني أعوذبك من المأثم والمغرم ( الدين ) , فقيل له : إنك تستعذ من المغرم كثيراً يا رسول الله ؟ فقال : " إن الرجل إذا غرم حدث فكذب , ووعد فأخلف"
Ertinya : Ya Allah, aku berlindung kepadaMU dari dosa dan hutang, lalu Baginda ditanya : Mengapa engkau sering meminta perlindungan dari hutang, whaai Rasulullah ? ; Baginda menjawab : " Jika seseorang berhutang, bila berbicara ia dusta, bila berjanji ia mengingkari" ( Riwayat Al-Bukhari, 1/214 )

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain : 
Ertinya : “Ya Allah, aku berlindung dari kekufuran dan hutang, Mendengar itu seseorang bertanya, " Apakah engkau menyamakan kekeufuran dengan hutang wahai Rasulullah ? ; " Benar " Jawab Rasulullah" ( Riwayat An-Nasaie, 2/316 ; Ahmad , 3/38 ; Al-Hakim berkata Sohih dan disepakati oleh Az-Zahabi; Menurut Albani : Dhoif )

Berlandaskan dalil-dalil di atas jelaslah kepada kita bahawa berhutang adalah amalan yang kurang baik menurut pandangan Islam. Terlebih lagi pentingnya dalam urusan hutang ini ialah keperluan dan kewajiban untuk melunaskan hutang-hutang yang ada. Justeru, kita sewajarnya kita menjauhi hutang semampu yang boleh. Beberapa panduan di bawah perlu difikirkan untuk memastikan tanggungan dan beban hutang kita dapat dikurangkan dan seterusnya dilunaskan.

Seseorang yang berhutang hendaklah berikhtiar dan berusaha membayar hutang yang dipinjamnya kerana hutang itu wajib dibayar. Tindakan menunda atau melewatkan pembayaran hutang dilarang kerana itu satu kezaliman.Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya:
“Penundaan hutang bagi mereka yang mampu adalah satu kezaliman.” (Riwayat Bukhari – 41/585)
Menurut rasulullah SAW, orang yang sengaja melambatkan atau melengah-lengahkan pembayaran hutang dalam keadaan dia boleh melunaskan hutangnya dengan segera adalah melakukan kezaliman. Demikian ditegaskan oleh Rasullullah SAW dalam sabdanya yang maksudnya: “Orang kaya yang sengaja melengah-lengahkan pembayaran hutang adalah suatu kezaliman.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim.)


Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Hibban dan Al-Hakim, Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya: “Sengaja melengah-lengahkan hutang oleh orang yang memiliki harta (untuk membayar hutang) itu boleh menghalalkan kehormatannya dan menghalalkan hukumannya.”


Antara ikhtiar yang disarankan oleh agama Islam untuk umatnya bagi menjauhi amalan berhutang termasuklah berdoa. Kenapa kita selalu diminta berdoa? Jawapannya ialah kerana kita hanyalah hamba-Nya yang lemah dan sentiasa mengharapkan bantuan daripada ALLAH SWT.

Doa adalah senjata kita. Segala yang berlaku di dunia ini adalah atas kehendak Allah. Kita hanya mampu berusaha dan berikhtiar bersunguh-sungguh . Setelah berusaha dan berikhtiar barulah kita disarankan untuk berdoa dan berserah kepada Allah jua.

Doa yang diajarkan oleh Rasulullah S.A.W ini khusus supaya kita dilindungi daripada keadaan duka dan keluh kesah, dijauhi sifat malas, takut dan bakhil, jauh daripada beban hutang dan juga penindasan orang.

Mulakanlah usaha anda untuk melangsaikan hutang-hutang anda dengan mengamalkan doa yang dipaparkan di awal tulisan ini. InsyaAllah, bila kita istiqomah, Allah SWT akan membantu kita meringankan beban hutang kita. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun dan Penyayang.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan